Firman Allah SWT: Maksudnya: “Wahai orang mukmin, hendaklah kamu
bertaqwa kepada Allah, hendaklah kamu mencari wasilah atau jalan untuk
sampai bertaqwa pada Tuhan dan hendaklah kamu berjuang pada jalannya,
moga-moga kamu mendapat kemenangan (di dunia dan di Akhirat).” (Al
Maidah: 35)
Taqwa itu penting. Kita telah huraikan sebelum ini bahawa ia
merupakan aset umat Islam dunia dan Akhirat. Untuk mendapatkannya
seperti dalam ayat di atas ada dua jalan:
1.Wasilah iaitu perantaraan yang sampai kepada Tuhan termasuk jalan-jalan supaya kita dipelihara Tuhan.
2.Jihad (berjuang) pada jalan Allah.
JALAN WASILAH
Apa maksud wasilah? Wasilah di sini ada dua pengertian iaitu:
- Membuat kerja-kerja kebaikan, kebajikan dan amal-amal soleh
yang berbentuk hablumminallah dan hablumminannas. Kita akan sampai
dipelihara Tuhan nanti. Kita akan sampai kepada Tuhan. Ertinya Tuhan
terima, Tuhan redha lalu Tuhan akan jamin keselamatan kita dunia dan
Akhirat.
- Pengertian yang lebih utama dari pengertian di atas ialah
kita perlu cari guru atau mursyid untuk memimpin kita kepada Tuhan.
Wasilah di sini maksudnya guru atau mursyid yang memimpin dan mendidik.
Jadi, cari wasilah dengan maksud yang kedua ialah cari guru yang
memimpin kita kepada Tuhan supaya sifat taqwa itu dapat kita miliki atau
dengan kata-kata lain, kita dapat perlindungan dari Tuhan. Kalau tidak
ada guru atau mursyid yang membawa dan memimpin kita maka kita tidak
akan sampai kepada Tuhan. Walau seseorang itu alim atau kuat beribadah
macam mana pun tetapi kalau tidak ada mursyid, insya-Allah dalam bab
agama, syaitanlah yang akan memimpinnya.
Sebab itu Sayidina Ali ada berkata, “Barang siapa yang tidak ada syeikh atau guru maka syaitanlah yang akan menjadi gurunya.”
Bila kita baca sejarah silam, ramai ahli abid yang sudah zuhud, yang
sudah menghabiskan masa dengan beribadah, yang sudah terputus dengan
hal-hal dunia hingga kagum kita dengar tetapi ramai disesatkan syaitan.
Dalam Quran dicerita-kan kisah Bal’am, Barsisa dan lain-lain lagi yang
disesatkan syaitan sebab mereka tidak ada guru, tidak ada mursyid.
Begitu hebat ibadah mereka sampai tinggal dunia tetapi rupanya dalam bab
agama, syaitan menjadi guru atau mursyid mereka. Jadi, kita kena cari
wasilah iaitu guru mursyid. Kalau di zaman rasul, Rasulullah guru
mursyid. Di zaman khalifah maka khalifahlah guru mursyid. Bila ada
mujadid maka mujadidlah guru mursyid. Waktu ada mujadid maka ulama juga
patut bergurukan mujadid. Kalau mereka bersendiri dan tidak mahu mencari
mujadid sebagai mursyid, mereka akan tersesat, sekalipun mereka pakar
tafsir, pakar feqah, pakar tasawuf atau pakar usuluddin. Berdasarkan
ayat tadi maka wajib bagi kita mencari mursyid.
Maka fahamlah kita bahawa makna wasilah itu ada dua.
- Wasilah itu adalah amalan-amalan yang boleh mendekatkan kita
kepada Tuhan. Iaitu ibadah berbentuk hablumminallah dan hablumminannas.
Banyak ibadah yang kita buat yang boleh mendatangkan kasih sayang dan
belas kasihan Tuhan. Melalui ibadahibadah tersebut, Tuhan bantu kita dan
Tuhan campurtangan dan permudahkan urusan kita. Tuhan jauhkan bala
bencana dari kita. Tuhan ampunkan dosa kita. Di samping ibadah asas,
ibadah-ibadah ini termasuklah bertaubat, menebus dosa, sembahyang malam,
bersedekah, berkasih sayang, bermaaf-maafan, sembahyang hajat dan
sebagainya.
- Wasilah itu juga adalah guru mursyid yang boleh memimpin kita
kepada Tuhan, yang boleh membawa kita kepada Tuhan, yang boleh
mendekatkan diri kita kepada Tuhan. Termasuklah di sini tarekat dan
amalan tarekat kerana ia adalah platform untuk mursyid memimpin dan
mendidik kita di samping ia adalah saluran barakah. Tarekat itu termasuk
wasilah. Rugilah orang yang tidak ada atau belum ada tarekat. Ada Hadis
yang mengatakan: Maksudnya: “Hendaklah kamu bersama Tuhan, kalau tidak
boleh, maka hendaklah kamu bersama orang yang boleh bersama Tuhan (yang
boleh memimpin kita kepada Tuhan). Wasilah melalui perhubungan atau perantaraan orang-orang Tuhan
dikatakan juga tawasul. Kita rujuk kepada doa yang kita baca selepas
azan yang berbunyi: Maksudnya: “Wahai Tuhan, Engkau jadikanlah Nabi
Muhammad itu wasilah bagi kami.”
Maksud doa ini ialah kita minta kepada Tuhan supaya Nabi Muhammad itu
menjadi wasilah atau perantaraan kita sebab belum tentu Rasulullah mahu
menjadi wasilah bagi kita. Walaupun Rasulullah itu memang berperanan
sebagai wasilah (penghubung atau perantaraan) kita dengan Tuhan tetapi
belum tentu dia mahu menjadi penghubung untuk semua orang. Ada orang dia
tolak dan tidak mahu jadi penghubung baginya. Rasulullah SAW hanya mahu
menjadi wasilah bagi orang-orang soleh. Ini yang kita takutkan. Oleh
itu kita berdoa secara khusus agar Tuhan jadikan Rasulullah itu wasilah
bagi kita.
Wasilah itu pula ada wasilah lahir dan ada wasilah batin. Contoh
wasilah lahir, Rasulullah mendapat wahyu dari Allah dan disampaikan
wahyu itu kepada kita. Rasulullah juga belajar dengan Allah bagaimana
hendak berakhlak dan bagaimana hendak hidup cara Islam. Kita pun melihat
dan kita tiru dia. Kita jadikan dia sebagai contoh. Maknanya ketika itu
dia menjadi wasilah lahir kita. Dia jadi perantaraan atau orang tengah.
Wasilah batin pula adalah wasilah yang bersifat rohaniah, Rasulullah
itu perlu kita kaitkan dalam semua ibadah dan doa kita. Contohnya, dalam
dua kalimah syahadah, ada syahadah Allah dan ada syahadah Rasul. Kalau
tidak ada syahadah Rasul, maka syahadah kita tidak sah. Dalam berdoa,
kita disuruh bermula dengan selawat dan disudahi dengan selawat kedua.
Rasulullah itu boleh membantu dan menolong kita secara rohaniah walaupun
Baginda sudah wafat namun rohnya adalah muqaddasah (suci) dan
mutasarrif (boleh berperanan).
Di samping Rasulullah SAW, pemimpin yang berwatak rasul atau mujadid
di setiap zaman itu adalah juga sebagai wasilah. Mereka boleh menolong
kita secara rohaniah terutama dalam hal-hal membaiki diri dan
mengusahakan taqwa. Itulah maksud wasilah. Mencari wasilah itu untuk
tujuan menjaga dan memelihara diri kita, untuk keselamatan kita dunia
dan Akhirat. Wasilah itu adalah jalan kepada Tuhan.
JALAN JIHAD (BERJUANG)
Selain itu walaupun kita ada wasilah, ada guru yang memimpin kita
untuk membuat amalan-amalan kebajikan dan amalan-amalan soleh yang
berbentuk hablumminallah dan hablumminannas, kita mesti ada jihad
perjuangan. Tidak ada jihad, tidak boleh pergi. Jadi kalau ditafsirkan
ayat tadi, tidak boleh kita pisahkan antara jihad dan wasilah itu
sendiri. Hendak laksanakan wasilah kita tidak akan mampu kalau tidak ada
jihad. Sama ada jihad melawan hawa nafsu atau jihad melawan musuh-musuh
luar yang agak mengganggu. Yang paling mengganggu adalah nafsu.
Walaupun ada wasilah guru penunjuk jalan dan ada wasilah membuat
amalan-amalan soleh yang juga adalah hasil dari tunjuk ajar guru tetapi
untuk berjaya, ia terpulang pada diri kita sendiri. Guru sudah tunjuk
jalan. Kejayaannya ditentukan oleh sejauh mana kita boleh berjihad dan
bermujahadah.
Kalau boleh mujahadah, boleh berjihad dengan baik sama ada mengenai
musuh-musuh luar lebih-lebih lagi terhadap musuh batin, di mana jihad
itu menggunakan wasilah, barulah boleh sampai kepada Tuhan. Jadi tidak
boleh dipisahkan antara jihad dengan wasilah. Jihad itu sendiri adalah
kerana hendak melakukan dua perkara tersebut iaitu hendak manfaatkan
wasilah dan hasil dari tunjuk ajar guru supaya dia dapat mujahadah.
Hendak bermujahadah itu banyak gangguannya.
Sebab itu Tuhan senaraikan wasilah, selepas itu jihad. Wajahidu
fisabilihi. Jadi kalau wasilah itu kita faham dan kita hayati, untuk
menjayakannya menggunakan jihad atau mujahadah iaitu mujahadah ke luar
dan ke dalam dengan ilmu, dengan faham, dengan pimpinan dan dengan
mujahadah maka apa kata Tuhan: ‘la‘allakum tuflihun’ (moga-moga kamu
mendapat kemenangan dunia dan Akhirat).
Itupun Tuhan baru kata ‘moga-moga’, masih tidak confirm. Padahal
Tuhan sudah tunjukkan jalan. Kita pun sudah faham jalan tetapi Tuhan
kata ‘moga-moga sahaja engkau mendapat kemenangan’. Ertinya di situ ada
rahsia. Mungkin di hujunghujung ada kebimbangan. Sebab syaitan akan buru
kita sampai mati. Takut-takut di hujung di waktu sakaratul maut, kita
terkandas. Sebab itu Tuhan berkata, ‘moga-moga engkau mendapat
kemenangan’. Tuhan masih tidak menetapkan kerana syaitan tunggu.
Walaupun di perjalanan, syaitan tidak berjaya menipu tetapi dia tunggu
di hujung. Begitu berdendamnya syaitan. Kalau waktu nazak dia dapat
menipu, kita sudah tidak sempat bertaubat lagi. Kalau dalam perjalanan,
masih ada peluang bertaubat. Kalau kita fikirkan ini, cemasnya
menghadapi kematian. Bukan soal azabnya tetapi takut-takut kita kandas
last minute. Sebab itu kalau orang fikir mati, hilang selera untuk buat
maksiat.
Jadi taqwa itu penting iaitu semua sifat-sifat mahmudah yang
dikehendaki perlu dimiliki. Rupanya hendak memiliki sifat taqwa bukan
hanya sifat takut sahaja. Itu tidak cukup. Hendak memiliki sifat taqwa
yang di dalamnya ada berbagai-bagai sifat mahmudah mesti ada wasilah.
Wasilah ada dua iaitu guru serta tarekat dan amalan kita yang berbentuk
hablumminallah dan hablumminannas. Untuk menjayakan wasilah, perlu
kepada jihad iaitu mujahadah terhadap musuh luar tetapi yang utama ialah
mujahadah terhadap musuh dalam iaitu nafsu dan syaitan yang sangat
bahaya, lebih bahaya daripada musuh-musuh luar.
Jadi kalau kita faham erti taqwa, ada ilmunya, dihayati, ada guru
yang memimpin dan mendidik kita serta kita gunakan tenaga jihad melalui
mujahadah kita, insya-Allah, kita akan dapat kemenangan demi kemenangan
dunia dan Akhirat.
di copy dari : http://www.usahataqwa.com/hidup-taqwa/wasilah-jihad